Ahad, 30 Ogos 2009

SEJARAH SMK LAYANG-LAYANG KIRI

Sejarah Penubuhan SMKLLK




Sejarah SMK Layang-Layang Kiri bermula sejak tahun 1980 apabila bangunan sekolah siap dibina. Namun, sesi persekolahan hanya bermula pada 14 Februari 1980. Pengetua pertama di sekolah ini ialah En. Azizan bin Abu Talib .Pada tahun berkenaan, hanya 6 buah kelas sahaja yang beroperasi dan para pelajarnya berpindah dari SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub iaitu pelajar-pelajar yang tinggal di sekitar Kg. Pulau Pisang sehingga Kg. Sg Korok. Pada awal pembukaan sekolah ini sehinggalah ke tahun 1990-an, terdapat anggaran 400 hingga 500 orang pelajar yang belajar di sini. Walau bagaimanapun, bilangan pelajar yang belajar di sini semakin berkurangan dari setahun ke setahun. Sekolah ini telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Idris ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah pada 25 September 1980.


Blok-blok sekolah yang asal Blok A yang menempatkan pejabat, makmal, bilik jahitan, bilik masakan dan tandas. Selain itu, Blok B yang menempatkan kelas-kelas, Blok C yang menempatkan kantin, dan Blok D yang menempatkan bengkel Kemahiran Hidup. Dua buah kuarters juga telah dibina iaitu rumah pengetua dan rumah guru.


Pada tahun 1986/87, telah dibina lagi 3 unit rumah-rumah guru di kawasan sekolah ini. Selain itu, pada tahun 1986, telah dibina satu lagi blok bilik darjah (menempatkan tingkatan 4 dan 5 sekarang). Pada tahun 1997, surau sekolah telah dbina dan pada tahun 1999/2000 Dewan Serbaguna telah dibina di sekolah ini. Pada tahun 2009 bangunan makmal yang baru telah disiapkan dan akan mula digunakan.


Sekolah ini turut menerima arus kemajuan seiring dengan kemajuan pendidikan negara. Pelbagai kemudahan untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam pelbagai bidang telah ditambah dari setahun ke setahun. Guru dan pelajar yang silih berganti juga mewarnai perkembangan sekolah ini. Semoga sekolah ini akan terus cemerlang dan dikenali serta harum namanya di persada dunia pendidikan kini.